Lelaki Mengaku ‘Model’ Brazil Perdaya 700 Wanita, Ugut Sebar Video Intim

foto: Lelaki mengaku ‘Model’ Brazil perdaya 700 wanita, ugut sebar video intim

Delhi Timur||jatenggayengnews.com-Seorang lelaki India mendakwa dirinya sebagai model Brazil di platform temu janji yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan menipu lebih 700 wanita dengan mengugut untuk menyebarkan gambar dan video intim mereka.

Portal NDTV melaporkan, lelaki itu bekerja sebagai perekrut pada waktu siang, namun pada waktu malam, dia terlibat dalam manipulasi dan pemerasan terhadap mangsa-mangsanya.
Tushar Singh Bisht, 23, ditahan di kawasan Shakarpur, Delhi Timur, Jumaat lalu, kerana menipu lebih 700 wanita dengan menyamar sebagai model di platform temu janji.
Menurut portal itu, Tushar memiliki ijazah sarjana muda dalam pentadbiran perniagaan dan sejak tiga tahun lalu, dia bekerja sebagai perekrut teknikal di sebuah syarikat swasta di Noida.

Bapanya bekerja sebagai pemandu, manakala ibunya seorang suri rumah dan kakaknya bekerja di Gurugram.

Walaupun mempunyai pekerjaan yang stabil, lelaki itu terlibat dalam jenayah siber kerana ketamakan dan dorongan nafsu.
Menggunakan nombor mudah alih antarabangsa yang diperoleh melalui aplikasi dalam talian, Tushar mencipta profil palsu di platform temu janji dan media sosial popular seperti Bumble dan Snapchat.

Dia menyamar sebagai model bebas yang berpangkalan di AS yang kononnya sedang melawat India, dengan profil yang direka menggunakan gambar model Brazil.
Sasaran utama Tushar adalah wanita berumur 18 hingga 30 tahun yang dijumpai melalui platform tersebut.
Sebaik sahaja dia mendapat kepercayaan mereka, Tushar akan meminta nombor telefon serta gambar atau video intim mangsa.
Tanpa disedari mangsanya, dia menyimpan gambar dan video tersebut di telefon. Pada mulanya, aktiviti itu dilakukan untuk hiburan peribadi, namun lama-kelamaan ia berubah menjadi skim pemerasan yang sistematik, kata polis.

Menurut polis, Tushar menggunakan gambar dan video intim tersebut untuk memeras ugut wanita agar memberinya wang.
Jika mangsa menolak permintaannya untuk wang, dia akan mengancam untuk memuat naik kandungan eksplisit mereka dalam talian atau menjualnya di web gelap.

Menurut penemuan polis, Tushar terlibat dengan lebih 500 wanita di Bumble dan lebih 200 di Snapchat dan WhatsApp.

Kes tersebut terbongkar apabila seorang penuntut tahun dua Universiti Delhi membuat laporan di Balai Polis Siber Delhi Barat pada 13 Disember lalu.